“SAYA puas hati dengan keputusan PRU14. Seronok tengok Najib dan UMNO tersungkur. Walaupun banyak janji dimungkiri, saya tidak kisah kerana saya hanya mahu lihat Najib dipenjara.”
Inilah sentimen atau alasan mempertahankan diri rata-rata pengundi muda yang menyokong Pakatan Harapan, yang menerima semua cerita PH tentang penyelewengan yang dituduh dilakukan Datuk Seri Najib Tun Razak, termasuk yang tidak masuk akal.
Terlalu banyak cerita tersebar yang tidak ada kepastian, tetapi diterima bulat-bulat oleh penyokong PH yang majoritinya agak baru mengenal Tun Dr Mahathir Mohamad dan tidak membaca sejarah politik 22 tahun di bawah Mahathir.
Terbukti bahawa golongan ini hanya mengikut arus dan trend sejak beberapa tahun lalu. Mereka seronok mengikut arus menolak UMNO dan BN yang sudah tua dan tidak menarik.
Pembangkang masa itu nampak muda dan jauh lebih baik, kerana mereka hanya perlu mengkritik dan menjanjikan bulan bintang, seperti harga minyak turun, tidak perlu bayar PTPTN, pendidikan percuma dan kos sara hidup turun kerana GST yang zalim itu akan dihapuskan.
Selepas PRU14, para penyokong yang kuat berkempen dan bersorak ini terpaksa memberi alasan masing-masing untuk menyembunyikan rasa kecewa dan tertipu. Kerana malu dan ego, mereka terpaksa menyembunyikan kekecewaan.
Ramai yang mempersalahkan mereka kerana mengundi PH dalam PRU14, tetapi mereka tidak sepenuhnya bersalah kerana mereka juga mangsa yang tertipu. Mereka hanya melihat janji PH dan dibandingkan dengan kempen PH menyerang dan menunjukkan rekod buruk BN.
Golongan ini diperangkap oleh keyakinan mereka yang palsu dan eksploitasi oleh PH. PH sedar mereka ini mengharap sesuatu dan mudah dipengaruhi. Inilah yang dieksploit untuk mendapatkan undi mereka.
Memang mudah menyerang dan mendedahkan kelemahan kerajaan kerana sebuah kerajaan ialah satu jentera yang besar dan kelemahan tidak dapat dielakkan. Kerajaan tidak dapat menjanjikan segalanya percuma dan murah seperti dijanjikan PH sebelum PRU14.
Sekarang sudah terbukti PH sebagai kerajaan tidak mampu menunaikan satu pun yang dijanjikan yang memerlukan usaha dan kos yang besar seperti menghapuskan tol dan menyediakan pendidikan percuma. Malah, hutang PTPTN pun tidak dapat dihapuskan.
Apa yang dapat dilaksanakan ialah menghapuskan GST, yang sebenarnya ialah habuan untuk peniaga, dan bukan hadiah untuk rakyat kerana harga barang tetap tidak turun. Semua sedia maklum parti apa yang disokong oleh peniaga-peniaga dan tokey-tokey ini.
Ini semua menjadi bukti pilihan raya bukan sekadar untuk suka-suka dan melayan sentimen politik yang tidak matang. Pemimpin dan parti politik yang memang dapat merayakan habuan mereka, tetapi rakyat yang tertipu tidak dapat berbuat apa-apa. – Mynewshub.tv