PUTRAJAYA – Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar, dibawa keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada jam 7.37 pagi untuk ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Mohd Irwan dibawa menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex hitam diiringi lima kenderaan lain.
Beliau bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, akan dikenakan enam pertuduhan bersama pada pagi ini bagi kes berkaitan firma pelaburan Abu Dhabi iaitu International Petroleum Investment Company (IPIC).
Semua pertuduhan itu adalah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah sejumlah wang bernilai lebih RM6 bilion.
Semalam, kedua-dua mereka hadir memberi keterangan kepada SPRM membabitkan kes itu.
Bagaimanapun, Najib dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM pada jam 5 petang semalam selepas selesai memberi keterangan selama tiga jam manakala Mohd Irwan Serigar pula ditahan di lokap SPRM.
SPRM, dalam kenyataan semalam, memaklumkan ia mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Najib dan Mohd Irwan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, dalam kes berasingan, SPRM turut mendapat izin mendakwa bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasanah Ab Hamid, berhubung isu pecah amanah membabitkan wang milik Kerajaan Malaysia.
Hasanah akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari yang sama dan mengikut seksyen yang sama. – BH ONLINE