KUALA LUMPUR – Permintaan seorang lelaki yang mahu Mahkamah Tinggi di sini menambah hukuman sebat dan mengurangkan hukuman penjara terhadapnya menarik perhatian Hakim Datuk Azman Abdullah dan orang awam yang turut berada di situ.
Robin Chow Yan Pun, 30, membuat permintaan itu atas alasan mahu segera keluar dari penjara.
Ia berikutan Hakim Azman membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang merayu atas hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen terhadap Robin.
Hakim Azman menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan terhadap Robin atas kesalahan menjadi orang tengah dalam kegiatan persundalan.
Sebelum ini Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan terhadap Robin atas kesalahan itu.
Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Azman berkata, tertuduh perlu menjalani penjara lebih lama bagi memberi pengajaran kepadanya supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.
“Hukuman ini sepatutnya memberi ketakutan pada kamu dan juga orang lain yang mahu membuat kesalahan yang sama. Jika ia tidak mendatangkan ketakutan, tiada guna mahkamah menjatuhkan hukuman.
“Semoga kamu akan insaf dengan perbuatan kamu,” katanya.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz.
Pada 14 Mac lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman terhadap Robin selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.
Dia mengaku bersalah bertindak sebagai orang tengah dan menolong dalam kegiatan persundalan di sebuah apartmen di Jalan Sri Hartamas 1, Taman Sri Hartamas, di sini pada jam 10.45 malam, 25 Februari lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. – BH Online