BONGKAR… Datuk Seri Najib Tun Razak sahut cabaran Lim Guan Eng dengan beri bukti Setiausaha Politik menteri itu sendiri, Tony Pua pernah kata, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) boleh turun harga barang.
Bukti yang dikemukakan bekas Perdana Menteri, itu susulan permintaan Menteri Kewangan tersebut semalam yang meminta pembangkang tampil bahawa beliau pernah berkata SST konon mampu menurunkan harga barangan.
“Saya belek berita lama terjumpa ini. Hebat juga strategi komunikasi mereka. Lain orang lain cerita. Setiausaha Politik dan ‘macai’ Lim Guan Eng (bukan saya kata tapi dia sendiri kata) pernah kata SST akan turun harga barang.
“Apa cerita sekarang ini?” tanya Najib secara nada sindiran kepada Guan Eng yang cuba berdolak-dalik mengenai isu SST menerusi hantaran dalam akaun sosial Facebook milik beliau hari ini.
Setiausaha Agung DAP tersebut dalam angkuh di Dewan Rakyat semalam mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa konon tiada jaminan harga barangan akan turun selepas pelaksanaan SST.
Susulan itu, Guan Eng tanpa segan silu mencabar mana-mana pihak untuk menunjukkan bukti sekiranya beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa harga barang konon akan turun selepas pelaksanaan SST.
“Lim Guan Eng berani pula tanya sejak bila dia ada kata SST akan turunkan harga barangan. Dia siap cabar untuk tunjukkan bukti.
“Kadang-kadang kenyataan-kenyataan yang YB-YB Kerajaan keluarkan sekarang ini, saya rasa macam saya perlu periksa balik pendengaran saya, betulkah mereka cakap begitu?” kata Najib.
Mengulas lanjut, Najib mendakwa hidup rakyat semakin susah dengan SST. Beliau turut bertanya, sama ada rakyat mendapat manfaat melalui penggantian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) balik semula kepada SST.
Najib malah berkata, kerajaan hari ini tidak mempunyai kutipan hasil yang cukup untuk membantu rakyat dan beliau turut risau dengan cukai baharu yang akan diperkenalkan kerajaan yang akan membebankan rakyat.
“Dalam semua ini, yang kita dapat lihat ialah begitu selesa pemimpin Kerajaan PH hari ini di pejabat mereka, ke hulu ke hilir dan menikmati pelbagai kemudahan. Melupakan rakyat, sebagaimana manifesto mereka,” ujar Najib.