KUALA LUMPUR – Kedudukan Lim Teong Kim selaku Pengarah Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) masih belum diputuskan.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantau PPBN hari ini berkata status bekas penolong jurulatih skuad remaja Bayern Munich itu bukan antara agenda yang dibincangkan di dalam mesyuarat tersebut.
“Ia tidak dibincangkan. Hari ini fokus kita (jawatankuasa) adalah merangkumi aspek dari segi pengurusan program itu sendiri. Jawatankuasa ini bukan bertujuan untuk membuat keputusan tetapi menyediakan cadangan kepada Menteri.
“Benda-benda berkaitan teknikal kita akan bincang kemudian apabila kita sudah bersedia,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat di MSN, Bukit Jalil di sini, hari ini.
Teong Kim, 55, mempunyai kontrak bersama PPBN sehingga 2020.
Beliau yang merupakan bekas pemain kebangsaan dan pernah beraksi di Jerman bersama kelab Hertha BSC dengan rekod lapan gol dalam 29 penampilan, dilihat sebagai individu tepat untuk menyediakan platform pembangunan bola sepak tanah air apabila dilantik menyandang jawatannya pada 2013.
Nama Teong Kim menjadi perbualan hangat peminat bola sepak tempatan selepas beliau dipecat serta-merta sebagai ketua jurulatih skuad Bawah 16 Tahun (B-16) oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan tersingkirnya skuad negara daripada Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 bulan lepas.
Mengulas lanjut, Ahmad Shapawi berkata pada mesyuarat yang turut dihadiri beberapa pihak antaranya FAM yang diwakili Timbalan Presidennya Datuk Seri Subahan Kamal, satu kata sepakat mengenai hala tuju PPBN telah berjaya dicapai.
“Selepas kita berjaya mengumpulkan maklumat-maklumat yang kita perlukan termasuk daripada para jurulatih dan ibu-bapa pada sesi townhall PPBN tempoh hari, kita telah dapatkan satu kata sepakat tentang bagaimana nak membawa PPBN dan AMD pada masa akan datang,” katanya.
Ahmad Shapawi bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai mesyuarat tersebut dan memaklumkan sama ada cadangan jawatankuasa itu diterima ataupun tidak selain keputusan akhir hanya akan diumumkan oleh Syed Saddiq.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPBN Safirul Azli Abu Bakar berkata keputusan muktamad mengenai masa depan PPBN yang sebelum ini dikatakan bakal dikendalikan FAM dijangka akan diputuskan pada awal bulan depan. – BERNAMA