UNIK… Neelofa sekali lagi menarik perhatian ramai netizen namun kali ini, bukan berhubung fesyen yang digayakannya tetapi penginapan mewah artis itu yang kini berada di Maldives.
Menurut laporan portal K! Online, pengacara dan aktres popular itu adalah individu ketiga di dunia yang menginap di vila mega mewah The Muraka, Conrad Maldives Rangali Island di kepulauan Lautan Hindi tersebut.
Ia merupakan sebuah vila mewah bawah laut pertama di dunia, yang siap dibina pada tahun 2016 dan akan mula beroperasi pada November ini. Kedalaman bilik mewah itu sedalam 16.4 kaki (lima meter) dari paras laut.
Harga penginapan bilik di vila eksklusif bawah laut itu pula berharga RM200,000 semalam. The Muraka yang terletak di Kepulauan Rangali itu dibina dengan kos AS$15 juta.
Neelofa, 29 tahun, berkongsi beberapa keping gambar yang menunjukkan beliau bercuti di sana sehingga menerima perhatian luar biasa daripada para peminat yang teruja dengan harga vila itu.
K! Online menukil beliau sebagai berkata: “Saya selalu bersyukur kerana berpeluang meneroka percutian menarik. Bidang kerja memberi peluang kepada saya pergi ke tempat idaman yang selama ini hanya ada dalam imaginasi.
“Seperti pengalaman sekali seumur hidup di The Muraka!, bilik-bilik di sini disediakan dengan perkhidmatan pelayan 24 jam sehari, selain disediakan bot untuk menjelajah ke sekeliling pulau.
“Meskipun bayarannya sangat mahal iaitu AS$50 ribu satu malam, tetapi saya berasa sangat bertuah kerana menjadi orang ketiga di dunia yang merasai pengalaman ini,” kata Neelofa seperti yang dipetik K! Online.
The Muraka membawa erti batu karang dalam bahasa Dhivehi. Tetamu vila itu berpeluang untuk merasakan pengalaman menginap di dasar laut dan dikelilingi oleh hidupan akuatik.
Selain bilik tidur, ruang dasar laut The Muraka turut dilengkapi dengan ruang tamu dan bilik air. – Agensi/Mynewshub.TV