BUKIT MERTAJAM – Lapan wanita, kebanyakan mereka warga emas ditahan di Pasar Awam Kampung Baru, di sini, semalam, kerana berjudi di tempat terbuka hingga mendatangkan ketidakselesaan awam.
Wanita berusia antara 51 hingga 75 tahun itu ditahan sepasukan polis cawangan Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) dalam serbuan jam 5.50 petang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata kesemua suspek yang leka bermain judi daun terup terkejut sebaik diserbu polis.
“Dalam serbuan ini, polis merampas beberapa barangan, termasuk 52 keping kad daun terup, tujuh unit kerusi plastik dan meja bulat yang dijadikan tempat mereka berkumpul serta bermain.
“Selain itu, polis merampas wang tunai berjumlah RM17,270 yang dijadikan pertaruhan dalam permainan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Kesemua tahanan dan barang kes dibawa ke IPD SPT untuk siasatan lanjut.
Nik Ros Azhan berkata, pihaknya turut mendapatkan laporan daripada pakar judi bagi membantu siasatan.
“Tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi bagi membantu siasatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – BH Online