JAKARTA – Operasi mencari pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Tanjung Karawang akan diteruskan selama 24 jam, dan pasukan mencari dan menyelamat telah menemui sembilan mayat, setakat ini.
Presiden Indonesia Joko Widodo dipetik media Indonesia, telah mengarahkan operasi mencari pesawat itu dilakukan 24 jam.
“Saya perintahkan malam ini juga tetap bekerja 24 jam menggunakan lampu untuk mempercepatkan pencarian, terutama badan pesawat,” katanya seperti dipetik dalam laporan media Indonesia.
Pengarah Operasi Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Bambang Suryo Aji berkata operasi mencari bangkai pesawat itu ketika ini melibatkan pasukan tentera, polis dan Basarnas, menggunakan 14 kapal peronda dan dua helikopter.
“Setakat 8.30 malam waktu Indonesia barat, operasi menyelam telah dihentikan, namun operasi mencari pesawat akan diteruskan 24 jam, operasi 24 jam itu akan dilakukan selama tujuh hari di perairan itu,” katanya.
Beliau berkata setakat 8.30 malam ini, sebanyak sembilan mayat telah ditemukan pasukan mencari dan menyelamat, dan dihantar ke hospital untuk tujuan mengenal pasti identiti.
“Dalam operasi mencari hari ini, pasukan mencari dan menyelamat turut menemui beberapa serpihan dipercayai milik pesawat itu, dan barang-barang milik penumpang pesawat berkenaan,” katanya.
Penerbangan JT610 itu membawa 178 penumpang dewasa, satu kanak-kanak dan dua bayi.
Pesawat dikendalikan kapten Bhavye Suneja dan pembantu juruterbang Harvino bersama enam kru kabin, Shintia Melina, Citra Noivita Anggelia, Alviani Hidayatul Solikha, Damayanti Simarmata, Mery Yulianda, dan Deny Maula.
Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas di koordinat S 5 49.052 E 107 06.628 di perairan Karawang, selepas berlepas 6.20 pagi tadi dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.
Pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang, Kepulauan Bangka Belitung, dekat Sumatera pada jam 7.10 pagi waktu Indonesia barat.
Sementara itu Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan mengesahkan tiada rakyat Malaysia di dalam pesawat berkenaan.
“Pihak kedutaan telah mendapat butiran terperinci, setakat ini tiada rakyat Malaysia terbabit,” katanya.
Pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Karawang adalah sebuah pesawat baharu yang mula melakukan operasi penerbangan pada 15 Ogos tahun ini.
Menurut laporan media Indonesia, pesawat itu sebelum itu berlepas dari Denpasar, Bali ke Jakarta, dan dilaporkan menghadapi masalah teknikal, namun masalah itu telah ditangani sebelum melakukan penerbangan ke Pangkal Pinang. – BERNAMA