KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lelaki berusia 17 tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong dihentikan sementara berikutan hujan lebat.
Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali berkata operasi dihentikan kira-kira 12.45 tengah hari memandangkan pihaknya tidak mahu mengambil risiko keselamatan terhadap pasukan keselamatan.
“Polis tidak mahu insiden sama berlaku dalam operasi SAR hari ini dan operasi hanya akan diteruskan selepas hujan reda.
“Memang arus air masih deras di lombong ini hari ini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Selain itu, beliau berkata setakat ini pasukan Penyelam Polis Marin sedang membuat penilaian bagi melaksanakan operasi SAR itu.
“Mereka sedang membuat penilaian sama ada keadaan selamat untuk menyelam,” katanya sambil menambah seramai 150 anggota dari pelbagai agensi seperti Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam terlibat operasi hari ini.
Semalam, operasi SAR Mohd Ilham Fahmi bertukar tragedi apabila enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) lemas ketika menjalankan SAR.
Mangsa terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.
Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25. – BERNAMA