PASIR MAS – Jabatan Perangkaan Negeri Kelantan menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak terpedaya sekiranya didatangi pegawai yang meragukan mendakwa daripada jabatan itu untuk melakukan bancian kerana dikhuatiri pegawai palsu.
Pengarahnya Zuraidy Zainal Abidin berkata pegawai dan petugas banci dari jabatan itu akan sentiasa memakai ‘vest’ dan membawa surat iringan dan kad kuasa sebagai pengenalan diri yang membenarkan mereka membuat pengumpulan data.
“Jika orang ramai merasa ragu dengan pegawai banci yang datang, mereka boleh minta kad kuasanya dan hubungi segera jabatan kami untuk pengesahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program ‘Stats Fun’ 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Bemban di sini, hari ini.
Zuraidy berkata ia susulan kejadian yang berlaku di sebuah daerah di Kelantan baru-baru ini ketika pihaknya ingin membuat bancian tetapi dihalang oleh penduduk setempat.
“Mereka mengatakan sudah ada pihak yang mengaku mereka dari Jabatan Perangkaan datang untuk melakukan bancian sebelum kehadiran pihak kami,” katanya.
Beliau berkata ada juga sesetengah pihak mengaku dari jabatan itu sebagai alasan untuk diberi keizinan memasuki kediaman penduduk, tetapi akhirnya mereka akan menawarkan produk jualan mereka kepada isi rumah.
“Bila berlakunya penyamaran sebegini ia memberi kesan kepada pegawai jabatan kami untuk melakukan tugas,” katanya.
Mengenai Stats Fun 2018 itu yang disertai 85 pelajar tingkatan empat aliran perakaunan dan perniagaan, Zuraidy berkata program tersebut adalah antara pendekatan untuk memberi pendedahan penggunaan statistik rasmi negara dalam pembelajaran di sekolah.
Program itu juga adalah sebahagian daripada aktiviti yang dirancang oleh jabatan tersebut sempena menyambut Hari Statistik Negara pada 20 Oktober setiap tahun, katanya. – BERNAMA