KUALA KUBU BHARU – Seorang pemandu lori pembekal ubat yang memandu secara berbahaya dan melawan arus di Kilometer 432.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur masuk Plaza Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor, Ahad lepas, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, di sini hari ini.
G. Alagenran, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azmil Muntapha Abas yang bertindak sebagai Majistret.
Dia didakwa memandu lori jenis Isuzu dengan nombor pendaftaran BNV 6378 di atas jalan raya dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kemalangan dengan sebuah lori bernombor pendaftaran WD 6228 B jenis sama di Kilometer 432.5 PLUS arah selatan, pada pukul 7.01 malam, 7 Oktober lepas.
Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000 jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Khairulazhwa Yusrie Mohamad mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang diwakili peguam Amirul Nazri Anas merayu jaminan minimum dengan alasan dia penanggung utama keluarga dan mempunyai empat orang anak.
Mahkamah membenarkan Alagenran diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 November untuk sebutan semula kes. – BERNAMA