JOHOR BAHRU – PAS Johor menyokong penuh pendirian kerajaan Johor untuk tidak meluluskan sebarang penganjuran pesta arak atau Oktoberfest di negeri ini.
Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ) Abdullah Husin berkata sokongan tersebut adalah berdasarkan pendirian yang sememangnya dipegang parti itu sejak sekian lama.
“Berikutan kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian yang menyatakan pendirian kerajaan negeri tidak akan meluluskan sebarang penganjuran pesta arak atau Oktoberfest di dalam negeri Johor, BPPNJ dengan ini menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tersebut.
“Pada tahun lepas, BPPNJ telah menghantar memorandum bantahan kepada penganjur ‘Oktoberfest 2017’ di sebuah hotel di sini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai kuasa untuk memberi kebenaran atau menolak sebarang permohonan penganjuran majlis seumpama itu, adalah wajar kerajaan Johor mengambil kira pelbagai faktor, dari sudut kepentingan agama Islam dan juga kepentingan masyarakat majmuk khususnya Bangsa Johor.
Abdullah turut mencadangkan agar penjualan arak secara terbuka di premis perniagaan serbaneka seperti 7-Eleven dikaji semula bagi menangani isu-isu berkaitan.
Semalam, Osman menyatakan pendirian kerajaan negeri untuk tidak akan mengeluarkan permit untuk penganjuran pesta arak atau Oktoberfest di negeri ini.
Beliau berkata jika ada bukan Islam ingin mengadakan majlis yang melibatkan minuman keras, mereka boleh berbuat demikian di premis yang sudah memiliki lesen. – BERNAMA