KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman oleh pegawai awam UMNO Datuk Seri Abd Rauf Yusoh berhubung tuntutan RM116.7 juta milik parti itu yang didakwa disita oleh Polis.
Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali yang mewakili PDRM dan kerajaan selaku defendan berkata antara alasan untuk membatalkan saman itu ialah berkaitan dengan isu locus standi.
“Kami (defendan) juga akan memohon penangguhan prosiding sebelum pengurusan kes yang akan datang dan mahkamah tetapkan 1 Nov ini untuk pengurusan lanjut kes itu,” katanya kepada pemberita selepas kes itu disebut di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rumaizah Baharom.
Peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang bertindak bagi pihak Abd Rauf selaku plaintif mengesahkan perkara itu dan memaklumkan mahkamah juga mengarahkan defendan untuk memfailkan afidavit balasan dan penyataan pembelaan.
Beliau berkata pihaknya juga mengemukakan permohonan penzahiran dokumen terhadap defendan ketiga berkenaan senarai dokumen sitaan wang yang dilakukan di Tower B, Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan pada 17 Mei lepas.
Antara dokumen yang diminta ialah salinan laporan polis yang menjadi asas sitaan berkenaan, salinan senarai wang yang disita, salinan gambar wang yang disita dan rajah kasar penemuan wang yang disita.
Plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi pada 21 Sept lepas dan menamakan Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Sakri Arifin, Penolong Pesuruhjaya Polis JSJK R.Rajagopal, Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan pertama hingga kelima.
Dalam penyataan tuntutannya, plaintif mendakwa penggeledahan yang dilakukan pada 17 Mei 2018 dan penyitaan adalah salah di sisi undang-undang, mencabuli hak-hak parti itu ,pelanggaran kewajipan statutori, penyalahgunaan kuasa, misfeasans awam kerana bertindak demikian terhadap UMNO tanpa sebab munasabah, berniat jahat, melulu, cuai dan dengan sengaja sebabkan kerugian dan menjejaskan parti itu.
Plaintif juga memohon perintah untuk pemulangan semula wang RM116.7 juta dan pemulangan wang berjumlah RM43.3 juta yang juga didakwa milik parti itu.
Plaintif juga mendakwa bahawa tindakan kesemua defendan itu menyebabkan UMNO kehilangan hak untuk menggunakan dana terbabit serta mengalami kehilangan dan kerugian.
Plaintif juga memohon ganti rugi am, teruk dan teladan. – BERNAMA