JOHOR BAHRU – Seorang warga Bangladesh yang bekerja di kilang kelapa sawit maut setelah tersepit pada mesin conveyor di Sungai Kachur Palm Oil Mill, Kota Tinggi, di sini lima hari lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt. Ahsmon Bajah mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.
Menurut beliau, dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Uddin Monir, 29, sedang melakukan kerja-kerja pembersihan pada mesin tersebut.
“Tiada unsur jenayah dalam kemalangan ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari.
Sementara itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Johor (JKKP) berkata ketika kejadian, rakan mangsa tiba-tiba terdengar jeritan mangsa dan segera mengarahkan mesin diberhentikan sebelum menemui mangsa tersepit di bahagian bracket mesin terbabit.
JKKP, dalam satu kenyataan berasingan berkata, mangsa kemudian terus dibawa ke Hospital Kota Tinggi oleh majikannya dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital berkenaan.
Buat masa ini, pihak JKKP sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian selain turut mengeluarkan satu notis pemberhentian kerja ke atas kerja-kerja pembersihan conveyor dan sembilan notis pembaikan.
Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya didapati pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994) ke atas pihak yang bertanggungjawab dengan denda maksima sebanyak RM50,000.
“JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja, orang awam mahupun harta benda,” kata jabatan itu.
Menurutnya lagi, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif. – BERNAMA