PULAU PINANG – Seorang pelacur dipercayai warga Vietnam ditahan bersama peralatan untuk menghisap syabu dalam Ops Ikrar oleh Jabatan Imigresen negeri, di sini malam tadi.
Wanita itu ditahan selepas satu pemeriksaan dilakukan di sebuah hotel bajet berhampiran Lebuhraya Batu Lanchang, di sini.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Izham Idris berkata, operasi yang bermula sejak lewat petang itu disertai seramai 20 anggota Imigresen negeri.
“Secara keseluruhannya, seramai sembilan orang diperiksa dalam operasi itu termasuk tiga lelaki warga tempatan, dua wanita Thailand, tiga wanita Vietnam dan seorang wanita Myanmar.
“Kesemua wanita tersebut ditahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.
Izham berkata, lelaki yang diperiksa itu dipercayai pelanggan yang datang ke hotel berkenaan.
Tambah beliau, pihaknya turut mengeluarkan Borang 29 iaitu borang saman kepada saksi terhadap majikan mereka bagi membantu siasatan. – UTUSAN ONLINE