KUALA LUMPUR — Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 akan diwartakan sebelum pertengahan November ini, kata Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad.
Katanya pelan itu turut akan dibentangkan kepada orang ramai sebelum 15 November ini beserta dengan senarai pelanggaran pembangunan sebelum ini.
“Pelan itu akan dibentangkan seperti mana yang dibincangkan dan dipersetujui menerusi pendengaran awam sepanjang tahun 2008 hingga 2012.
“Oleh sebab sebelum ini ia tidak diwartakan, ia boleh dilanggar agak mudah yang mana sepatutnya tanah itu dibina (menjadi) taman awam tetapi lain pula yang dibuat, sebab itulah kami menyertakan sekali senarai pelanggaran itu untuk panduan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis siri syarahan Veritas bertajuk ‘People Property Place’ di sini, hari ini.
Katanya pelan pembangunan untuk tahun 2040 pula hanya akan dirangka setelah pelan tahun 2020 diwartakan sepenuhnya.
“Pelan itu mungkin akan ada perubahan, merangkumi penambahbaikan perancangan pembangunan ibu kota, mengatasi kesesakan lalu lintas terutamanya dari segi perkhidmatan pengangkutan awam bagi meningkatkan kualiti kehidupan warga kota.
“Ia turut akan mengambil kira senarai pelanggaran pembangunan sebelum ini untuk tujuan panduan kepada pemaju-pemaju,” katanya.
Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 dilancar pada Mei 2008 dan dijadual untuk diwartakan pada 1 Julai 2012 namun ia ditangguh dan sehingga kini rangkaan pelan berkenaan belum diwartakan.
Bertemakan ‘memperkasa bandar melalui komuniti dan alam umum ‘, Veritas Design Group (Veritas) menganjurkan siri syarahan tahunannya yang bertujuan berkongsi idea mengenai pembangunan bandar.
Presiden Veritas, David Mizan Hashim berkata menerusi acara ini pemain yang berbeza dalam bidang hartanah dan sektor kerajaan dapat berinteraksi dan berkongsi isea antara satu sama lain. – BERNAMA