BANGALORE (INDIA) – Seorang pemandu bas yang membiarkan kenderaannya ‘dipandu’ seekor monyet digantung tugas hari ini selepas rakaman video kejadian itu tular di internet.
Dalam video yang dirakam seorang penumpang, lelaki berusia 36 tahun itu dilihat tersenyum dan membelai monyet berkenaan yang duduk di atas stereng semasa memandu kenderaan terbabit.
“Pemandu M Prakash digantung dari tugas kerana membenarkan seekor monyet duduk di atas stereng dan mengawalnya,” kata jurucakap perbadanan pengangkutan jalan milik kerajaan, T.S. Latha.
“Keselamatan penumpang perlu diutamakan dan pemandu itu tidak boleh mengambil risiko dengan membiarkan haiwan berkenaan duduk di atas stereng,” katanya.
Terdapat kira-kira 30 penumpang berada dalam bas itu sewaktu kejadian dan tiada sebarang rungutan atau aduan diterima daripada mereka berhubung insiden terbabit.
Media tempatan melaporkan, monyet itu menaiki bas berkenaan dan duduk di atas stereng selama hampir 10 minit.
Bas itu sedang beroperasi sekitar Davangere, kira-kira 270 kilometer dari Bangalore sewaktu kejadian.
“Ia sangat lucu dan comel. Mengapa gantung? Mereka sepatutnya hanya memberi amaran kepada beliau untuk tidak mengulangi perbuatan itu,” kata seorang netizen dikenali sebagai Parag Heda di Twitter. – AFP/BH ONLINE