BUKIT MERTAJAM – Sebuah premis pemborong kosmetik di sebuah pasar raya besar di sini diserbu sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, hari ini.
Dalam serbuan itu sebanyak 73 kotak, sembilan botol dan dua tin makanan kesihatan dirampas kerana melakukan kesalahan pada label serta membuat tuntutan perubatan selain tidak memiliki alamat pengimport.
Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr. Wan Mansor Hamzah berkata, nilai keseluruhan produk yang dirampas adalah RM2,806 dan pihaknya juga mengeluarkan tiga notis kepada pengeluar produk serta pemilik syarikat.
“Antara kesalahan yang dikesan adalah tiada alamat pengimport selain produk yang membuat tuntutan perubatan seperti mampu mencegah penyakit jantung, mengubati resdung, darah tinggi yang tidak dibenarkan.
“Selain itu antara yang dirampas adalah dua tin coklat yang dijual sebagai ‘ubat kuat’ yang dijual dengan harga RM100 setiap satu yang dipercayai mempunyai racun berjadual,” katanya.
Operasi itu turut melibatkan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi yang turut merampas beberapa produk lain. – UTUSAN ONLINE