Pemergian Hassan Azhari Ibarat Kehilangan Permata Dalam Agama
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menyifatkan pemergian tokoh agama terkenal negara Tan Sri Hassan Azhari, ibarat ‘kehilangan permata dalam bidang keagamaan’ .
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata ia kerana Allahyarham telah banyak memberi sumbangan dalam bidang keagaman khususnya berkaitan pengajian al-Quran di negara ini.
“Allahyarham juga merupakan guru agama kepada keluarga Istana termasuk Tuanku (Sultan Selangor) sejak zaman Nenda, bapa dan Tuanku sendiri.
“Atas jasa-jasa ini, Tuanku memberi perkenan Allahyarham untuk dikebumikan di makam ini sesuai dengan sumbangannya kepada negara, “katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengkebumian itu di Makam Diraja Shah Alam Seksyen 5 di sini, hari ini.
Turut berangkat ke majlis itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah. –LAGI
Hassan, 90, yang juga hakim Pertandingan Tilawah al-Quran meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur kira-kira 5 petang semalam, akibat kanser limfoma.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di makam itu kira-kira pukul 9.40 pagi selepas disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
“Saya mewakili rakyat Selangor turut mengucapkan takziah atas pemergiaan Allahyarham dan semoga anggota keluarganya diberikan kesabaran menghadapi ujian ini,” tambah Amirudin. – BERNAMA