SEREMBAN – Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat Negeri Sembilan Sabtu lepas berjalan lancar dan terkawal, kata Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata pada keseluruhannya proses pemilihan berjalan baik walaupun terdapat sedikit kekecohan, tetapi yang penting ia dapat dikawal.
“Pertandingan anak beranak…ada kalah dan ada menang, tetapi pada keseluruhannya, pemilihan PKR negeri ini Sabtu lepas berjalan lancar dan terkawal. Cuma satu iaitu Cabang Jelebu yang terpaksa diadakan pemilihan semula disebabkan masalah teknikal (perhubungan).
Jadi, mungkin kita akan melihat semula pada pemilihan tersebut dan kalau boleh tempat itu mungkin saya akan minta diubah supaya mendapat kawasan yang mendapat liputan internet yang baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Zulkefly Mohamad Omar, Setiausaha Kerajaan Negeri Dr Razali Ab Malek dan Pengarah Yayasan Negeri Sembilan Datuk Mat Ghazali Abd Rakim.
Katanya perkembangan pemilihan semula Cabang Jelebu akan dimaklumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
Beliau berkata demikian mengulas PKR Cabang Jelebu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu hari ini bagi mendesak JPP mengira semula 315 undi yang tidak dikira pada pemililihan Sabtu lepas.
Ketua Cabangnya Muhamed Zabidi Abdullah berkata laporan itu dibuat susulan JPP tidak mengambil kira 315 undi atas faktor masalah internet yang dialami pada hari tersebut menyebabkan undi tersebut tidak dikira pada pemilihan itu.
Aminuddin berkata banyak lagi ruang yang boleh ditambah baik dalam proses pemilihan ini dan contohnya undi ragu boleh dibantah lagi.
“Jadi, saya rasa tidak ada masalahlah…siapa nak bantah, boleh bantah undi ragu tersebut. Di samping itu juga kita rasa bahawa pemilihan itu berjalan baik…itu yang penting.
Kita juga tidak banyak menerima aduan…jadi, kita terimalah keputusan pemilihan itu. Asam garam pemilihan, memang ada pihak yang tidak puas hati…biasalah tu. Lepas ini akan ada proses undi ragu yang akan diadakan di ibu pejabat PKR. Jadi, siapa yang ingin membawa kes undi ragu, dipersilakan,” katanya.
Pada majlis itu, 152 orang siswazah kelahiran negeri ini yang mendapat ijazah kelas pertama di institusi pengajian tinggi (IPT) pada tahun lalu menerima insentif sebanyak RM5,000 setiap seorang.
Beliau berharap siswazah terbabit dapat meneruskan kecemerlangan dan seterusnya meningkatkan tahap pencapaian dalam pendidikan negara.
“Kita berharap mereka akan dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara serta menjadi warganegara yang dapat membantu meningkatkan pembangunan negara dalam pelbagai bidang,” katanya. – BERNAMA