KUALA LUMPUR – Ramai peminat Ernie Zakri kecewa apabila lagu penyanyi terbabit, Misteri, gagal melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik 33.
Menurut Ernie, dia menerima banyak mesej daripada penyokongnya di laman sosial yang menyatakan kekecewaan masing-masing apabila hasrat untuk melihat dirinya sekali lagi berentap di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33 tidak kesampaian.
Pada edisi lalu, Ernie menjulang trofi Vokal Terbaik bersama Syamel hasil persembahan mereka menerusi lagu duet, Aku Cinta.
“Saya harap, mereka tidak terus bersedih. Nampaknya, bukan rezeki saya untuk melangkah ke AJL, kali ini. Namun, saya bersyukur kerana mempunyai penyokong yang begitu tegar dan sanggup mengorbankan masa mereka mengundi lagu Misteri dalam program terbabit.
“Saya jadi amat beruntung kerana dikurniakan kawan seperti mereka. Harapan saya, masing-masing akan terus memberikan sokongan pada masa akan datang.
“Insya-Allah, tahun depan saya akan cuba lagi untuk bersaing pada pertandingan berkenaan,” katanya yang tidak patah semangat dengan kegagalan lagu ciptaan Gouffran dan Sang Hitam itu.
Ernie atau nama penuhnya Nur Ernie Shahirah Zakri turut berpesan kepada peminatnya untuk memandang ke depan, apatah lagi dia sendiri bakal muncul dengan single baharu dalam masa terdekat.
“Saya harap kita lupakan kekecewaan itu, sebaliknya sama-sama tunggu lagu baharu saya yang akan dikeluarkan tidak lama lagi. Mengikut perancangan, ia akan mula dipromosikan pada bulan depan,” katanya.
Menggunakan judul Ku Bersuara, lagu berentak rancak itu adalah hasil ciptaan Syamel bersama Omar K, Ikhwan Fatanna dan John Jeeves.
Sebanyak 30 lagu berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik bagi edisi kali ini. Antaranya ialah Demi Kita dendangan Ismail Izzani, Jatuh Bangun (Haqiem Rusli), Jagakan Dia (Shiha Zikir), Layarlah Kembali (Dayang Nurfaizah), Bunga (Altimet), Hikayat Benladin (Ben Ladin), Semakin (Siti Sarah), Rintihan Rindu (Wany Hasrita), Di Matamu (Sufian Suhaimi), Sampai Bila (Misha Omar) dan Luluh (Khai Bahar). – BH ONLINE