JOHOR BAHRU – Penamatan kontrak 65 pegawai penyelaras dan pegawai penggerak Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) di seluruh Johor, hanya dijalankan setelah penilaian menyeluruh dibuat.
Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata langkah itu dilakukan, antaranya selepas pihaknya mendapati ada dalam kalangan mereka tidak mempunyai pengetahuan dalam ilmu agama dan kekeluargaan.
Menerusi kenyataan dikeluarkan dalam laman Facebook rasmi beliau, Osman berkata pihak YPKDT kini dalam proses pengambilan pegawai baharu yang berkelayakan bagi menggantikan kesemua 65 pegawai berkenaan.
Beliau berkata pihaknya kesal dengan penularan kenyataan palsu mengenai YPKDT yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab dengan niat memberi imej buruk terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri menyedari tanggungjawab besar digalas pihak YPKDT dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam menjalankan program SAKINAH serta penggerak masjid dan surau dalam membentuk keperibadian bangsa dan asas-asas agama yang kukuh.
“Justeru, program SAKINAH di bawah seliaan YPKDT tidak akan dihentikan malah akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa agar sesuai dengan objektif penubuhannya dalam menangani masalah sosial dan memperkukuh sahsiah individu, keluarga dan masyarakat,” kata beliau.
Osman berkata kerajaan negeri juga tidak pernah mengeluarkan arahan kepada JAINJ untuk menamatkan kontrak semua penggerak masjid dan surau seperti didakwa.
“Pihak JAINJ kini sedang melakukan proses penambahbaikan kaedah pelantikan jawatan Penggerak Masjid dan Surau dalam usaha memperkukuhkan lagi institusi agama di Johor,” katanya.
Sehubungan itu, Osman berharap rakyat Johor tidak termakan dengan persepsi negatif cuba disebarkan pihak tidak bertanggungjawab, dan menasihatkan mereka agar mendapatkan pengesahan dan maklumat rasmi berkaitan aktiviti dan program-program dijalankan kerajaan negeri melalui saluran rasmi.
Osman berkata demikian bagi mengulas dakwaan mengenai pemberhentian pegawai-pegawai berkenaan serta penggerak masjid dan surau, sekali gus menamatkan program SAKINAH, yang menjadi tular di media sosial. – BERNAMA