KUALA LUMPUR – Penangguhan prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah atas pandangan Peguam Negara, Thommy Thomas.
Pengerusi PAC Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata beliau menerima surat daripada Thomas pada 25 Oktober lalu berkenaan pandangannya supaya PAC Parlimen menangguhkan ‘sine die’ prosiding berkaitan syarikat itu.
“Selepas mengadakan perbincangan dengan anggota PAC Parlimen, saya serta beberapa anggota PAC Parlimen mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof untuk memaklumkan mengenai perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Kiandee berkata lanjutan dari perbincangan yang diadakan, PAC Parlimen akan mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara secepat mungkin bagi membincangkan mengenai penangguhan itu dengan lebih lanjut.
Semalam, Kiandee dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa prosiding pertama bagi siasatan semula 1MDB yang sepatutnya memanggil bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang semalam ditangguhkan ke satu tarikh dan masa yang akan ditetapkan kemudian. – BERNAMA