SELEBIRITI berhijab mempunyai pengaruh yang sangat besar ke atas budaya pemakaian hijab dalam kalangan generasi muda sekali gus mengubah persepsi pemakaian litup kepala yang sering mendapat konotasi negatif.
Pensyarah Jabatan Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tengku Siti Aisha Tengku Mohd Azzman berkata berdasar kajiannya yang bertajuk Celebrity-fan Engagement on Instagram and How It Influences Perceptions on Hijab Culture Among Muslim Women in Malaysia, hampir 42 peratus pengaruh budaya berhijab datangnya dari golongan penghibur (artis).
“Selebriti laman sosial seperti personaliti YouTube, Blogger atau Vlogger dan laman sosial yang lain pula mempengaruhi kira-kira 27 peratus, usahawan wanita (22 peratus) dan selebihnya selebriti dari industri lain,” katanya kepada Bernama.
Di Malaysia, katanya lima selebriti berhijab iaitu Vivy Yusof, Shazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina, Neelofa, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Hanis Zalikha antara ‘trendsetter’ yang dikatakan mengubah corak pemakaian dan penerimaan tudung di negara ini.
Jelasnya, pemakaian hijab kontemporari selari dengan syariah yang ditonjolkan selebriti berkenaan menyebabkan hijab semakin diterima oleh masyarakat.
“Gaya penampilan berhijab mereka itu membuktikan litup kepala boleh dipakai di mana-mana majlis malah syarikat-syarikat yang dulunya mempunyai polisi yang ‘berat sebelah’ terhadap hijab, mula bersikap terbuka seperti mana yang dilakukan oleh beberapa syarikat penerbangan dan badan beruniform,” katanya.
Bukan itu saja, latar belakang selebriti yang pelbagai `warna’ itu juga membuatkan lebih ramai wanita berhijab di Malaysia tampil berani menerokai bidang-bidang yang dulunya terhad untuk mereka seperti penerbangan, tentera dan sukan.
“Banyak organisasi terutama sektor korporat kini lebih fleksibel kerana wanita berhijab ini sudah membuktikan tak semestinya bertudung itu tak cekap dalam membuat kerja dan bagi saya, Vivy Yusof adalah contoh terbaik usahawan berhijab yang berjaya, ” kata Tengku Siti Aisha.
Beliau juga menjelaskan, pengaruh selebriti itu bukan saja melibatkan penggayaan hijab tetapi juga mencetuskan ruang dan peluang golongan wanita menjadi usahawan tudung secara profesional.
Selain aspek reputasi selebriti itu katanya, penting juga untuk dinilai bagaimana selebriti berkenaan menggunakan platform laman sosial untuk meluaskan perniagaan dan mencipta empayar mereka sendiri yang boleh dijadikan ikutan golongan muda yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan. – BERNAMA