SHAH ALAM – Kerajaan Negeri menggesa setiap pengusaha industri supaya bijak menguruskan sisa bahan buangan sebagai usaha melindungi kesihatan dan keselamatan awam.
Timbalan Pengarah Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Ahmad Zaki Yusof berkata ini berikutan segelintir pengusaha industri tidak peka terhadap perkara itu sehingga menyebabkan sungai tercemar dan membawa kepada penutupan beberapa loji rawatan air di negeri ini.
“Pelbagai isu pencemaran alam sekitar wujud daripada sektor industri, terutama yang berkaitan pelepasan efluen dan bahan buangan yang tidak terolah serta tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
“Apa yang membimbangkan ialah sekiranya semua pengusaha industri ini tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, ia boleh menyumbang kepada masalah pencemaran sungai yang serius,” katanya ketika berucap pada seminar Pematuhan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Siti Zaleha Ibrahim, yang turut hadir pada seminar itu berkata, pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti sebagai langkah memelihara kebersihan dan melestarikan alam sekitar. – BERNAMA