BUTTERWORTH – Seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap sembilan pertuduhan menggunakan jawatannya untuk meluluskan syarikat adiknya sebagai pembekal pelbagai barangan untuk institusi itu antara September 2011 hingga November 2012.
Badaruddin Mohamed, 53, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.
Bagi tujuh pertuduhan, dia didakwa menggunakan jawatannya sebagai pengarah Pejabat Komunikasi Strategik USM untuk meluluskan Syarikat MK Urusniaga (M) Sdn Bhd milik adiknya sebagai pembekal pelbagai barangan dan cenderahati yang kesemuanya bernilai RM153,793 kepada Pejabat Komunikasi Strategik USM antara 22 Sept 2011 dan 23 Nov 2012.
Dua lagi pertuduhan ialah dia didakwa menggunakan jawatannya sebagai Ketua Sustainable Tourism Research Cluster USM untuk meluluskan syarikat milik adiknya itu sebagai pembekal bagi 30 unit ‘souvenirs glass’ bernilai RM3,450 dan biometrik pejabat bernilai RM2,920 kepada Pejabat Sustainable Tourism Research Cluster USM antara 5 Sept 2011 dan 14 Mei 2012.
Bagi kesemua pertuduhan itu, Badaruddin didakwa mengikut Subseksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,500 dengan empat orang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 29 Nov ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Amer Abu Bakar Abdullah dan tertuduh diwakili peguam Rahmatullah Baharuden. – BERNAMA