KUBANG PASU – Seorang mahasiswa maut setelah kereta dipandunya terbabas lalu merempuh sebatang pokok di Kilometer 34.9, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Ismail Ibrahim berkata, mangsa, Aiman Nazrin Azlan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di beberapa anggota badan.
“Difahamkan ketika kejadian mangsa yang berasal dari Taman Saga, Alor Setar dalam perjalanan dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menuju ke Alor Setar.
“Setibanya di lokasi kejadian, kereta Proton Wira dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh pokok di situ,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Difahamkan kejadian berlaku dalam keadaan hujan lebat dengan mangsa turut memakai tali pinggang keledar.
Mohd. Ismail menambah, jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan kenderaan mangsa dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE