KUALA TERENGGANU – “Comelnya, putih selepuk (sangat putih)…manja pulok tu”. Itu antara reaksi spontan pengunjung yang melihat dua ekor penyu albino yang dipamerkan sempena ‘Road To MAHA 2018’ di Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Manir, di sini yang bermula pada Khamis lalu.
Penyu agar betina yang berusia 10 dan 12 tahun itu adalah antara tarikan pengunjung ke pameran itu yang bertujuan mempromosi Ekspo Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) di MAEPS Serdang dari 22 Nov hingga 22 Dis depan.
Seorang pengunjung, Hayati Rashid, 32, berkata beliau tidak pernah melihat penyu albino dari dekat sehingga ini dalam hidupnya dan menyifatkan penyu albino itu sebagai aset berharga Terengganu.
“Saya lihat ramai pengunjung yang teruja melihat penyu albino ini dan merakamkan swafoto sebagai kenangan….saya berharap penyu albino ini akan terus dibawa menjelajah ke lebih banyak pameran pada masa depan agar lebih ramai tahu dan menghargai kewujudannya,” katanya kepada Bernama hari ini.
Seorang lagi pengunjung, Firdaus Ahmad, 28, berkata beliau teruja melihat penyu albino yang diberi nama ‘Putih’ itu kerana ia jinak dan kelihatan ‘mesra’ dengan orang ramai yang mendekatinya.
“Kebiasaannya, penyu tidak akan memberi reaksi seperti itu kepada orang asing, namun penyu albino ini kelihatan manja dan sering mengangkat kepalanya kepada pengunjung,” katanya.
Sementara itu, Ketua Cawangan Mamalia Marin, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Taming Ali Ahmad berkata kedua-dua penyu albino itu dipelihara di FRI Rantau Abang bagi tujuan pemuliharaan dan penyelidikan.
“Si Putih sangat unik kerana tidak semua anak penyu yang menetas bewarna putih atau mempunyai ciri albino. Si Putih suka dibelai pada bahagian kepala serta tengkuk dan akan merehatkan tangannya ke sisi badan apabila saya memanjakannya.
“Namun untuk pameran, pengunjung dilarang menyentuh Si Putih tanpa pengawasan kerana bimbang ia akan bertindak ganas sama ada melanggar dinding tangki atau menggigit tangan pengunjung,” katanya.
Mohd Tamimi berkata orang ramai boleh datang ke Galeri Spesies Marin Terancam FRI Rantau Abang di Dungun untuk melihat Si Putih dan beberapa spesies penyu yang lain seperti penyu Karah dan penyu Lipas serta rangka tulang paus, dugong dan lumba-lumba.
“Kita juga menyediakan Tabung Derma Penyu FRI Rantau Abang bagi tujuan perbelanjaan makanan Si Putih dan penyu lain kerana peruntukan makanan dan pembaikan fasiliti oleh kerajaan pusat di Hatcheri Kuarantin FRI Rantau Abang tidak mencukupi.
“Sumbangan itu diharap dapat menampung perbelanjaan tambahan selain peruntukan tahunan bagi baikpulih fasiliti penyu seperti hatcheri kuarantin, sistem pam air laut bersih, makanan dan ubatan serta kos rawatan penyakit yang lain,” katanya. – BERNAMA