UNIK… Bagi hargai para peminat tegarnya di Malaysia, jenama minuman berperisa kola terkemuka dunia, Pepsi memperkenalkan rekaan tin ikonik retro terbaharu mewakili setiap generasi berbeza.
Ia dikeluarkan menerusi kempen ‘Meraikan Setiap Generasi’ merangkumi empat rekaan untuk tempoh 40 tahun mewakili 1940-an, 1950-an, 1960-an dan 1980-an yang boleh didapati di kedai terpilih pada jangka masa terhad.
Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn. Bhd., T. S. Santharuban berkata, kempen tersebut bertujuan bagi meraikan setiap detik indah masa lampau di samping mewujudkan detik baharu untuk hari ini dan masa depan.
Ini juga dalam usaha syarikat itu mentakrifkan semula Pepsi sebagai minuman pilihan rakyat Malaysia. Setiap rekaan itu dijual di kedai terpilih seperti Kedai Mesra Petronas, Shell Select, 7-Eleven dan pasar raya besar Tesco.
“Untuk jangka masa terhad, peminat boleh dapat rekaan mewakili era berbeza iaitu 1940-an di Kedai Mesra Petronas, 1950-an di Shell Select dan 1960-an di 7-Eleven manakala pek empat tin istimewa Pepsi di Tesco.
“Kempen Meraikan Setiap Generasi ini adalah bukti tepat kepada legasi Pepsi bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia. Sebagai sebuah jenama terkenal, kami mahu memperingati sejarah ini bersama rakyat Malaysia.
“Dan apa lagi cara terbaik selain bawa semula rekaan ikonik Pepsi. Saya yakin generasi muda masa kini juga akan dapat hargai karya rekaan dengan inspirasi retro yang dikeluarkan Pepsi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sempena kempen itu, Pepsi juga akan menjalankan Peraduan Retro Pepsi dengan kerjasama syarikat pakaian Pestle and Mortar selama sebulan bermula 15 Oktober lalu dan berpeluang untuk memenangi banyak hadiah mingguan.
Ini termasuk 600 helai baju T Pepsi, 600 hoodies Pepsi, 600 topi Pepsi dan 1,000 unit gelas Pepsi dengan reka bentuk vintaj. Santharuban berkata, peserta hanya perlu membeli mana-mana produk Pepsi dalam satu resit.
Ia dijual di cawangan kedai terpilih dan mereka kena menjawab soalan mudah dan hantar jawapan kepada nombor telefon yang diberikan menerusi aplikasi WhatsApp untuk memenangi hadiah eksklusif tersebut.
“Peserta juga perlu menyertakan butir-butir peribadi mereka dan gambar resit yang asli sebagai bukti pembelian. Peserta yang menghantar penyertaan terbanyak setiap hari akan diumum layak menangi hadiah berkenaan.
“Peserta akan mendapat tiga penyertaan untuk setiap pembelian dua tin Pepsi Regular atau Pepsi Black 330 mililiter (ml) dan 320ml manakala dua penyertaan untuk satu botol Pepsi Regular 500ml atau Pepsi Black 400ml.
“Bagi pembelian satu botol Pepsi Regular atau Pepsi Black 1.5L, peserta akan mendapat satu penyertaan bagi peraduan berkenaan,” kata Santharuban. – Agensi/Mynewshub.TV