SHAH ALAM – Perak menamatkan penantian 18 tahun menjulang Piala Malaysia dan menambah gelaran kelapan apabila menewaskan Terengganu (TFC) 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 3-3 pada aksi final di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Keputusan ini mengulangi kejayaan yang dilakar The Bos Gaurus pada 20 tahun lalu apabila menewaskan lawan sama juga menerusi sepakan penentuan penalti 5-3 selepas terikat 1-1 pada final edisi 1998.
Kemenangan ini nyata begitu manis selepas skuad The Bos Gaurus itu terpaksa bangkit selepas ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama dan sekali lagi ketinggalan pada masa tambahan sebelum mengheret perlawanan ke sepakan penalti penentuan.
Bagaimanapun, dua kad merah yang dilayangkan pengadil, Suresh Jayaraman masing masing satu kepada pemain TFC dan Perak serta mutu pengadilannya di pentas akhir yang boleh dipersoalkan mencemari aksi berprestij itu.
Belum pun sempat panas, The Bos Gaurus dikejutkan menerusi kesilapan pertahanan, Mohd Idris Ahmad yang cuba menghantar bola ke belakang namun hanya perlahan, pantas disambar Tchetche Kipre yang kemudiannya mudah menewaskan Mohd Hafizul Hakim untuk gol pembukaan seawal minit pertama.
Kontroversi tercetus apabila jaringan pemain tengah Perak, Leandro Dos Santos pada minit ke-32 dibatalkan Suresh kerana pemain itu dikatakan mengasari Mohd Suffian.
Bagaikan ada yang tidak kena dengan Perak, kesilapan mudah sekali lagi memberikan gol percuma kepada Terengganu apabila Hafizul sekadar ‘menendang angin’ dan bola diambil oleh Kipre yang kemudiannya menolak masuk ke arah gawang ternganga pada minit ke-42.
Bersambung babak kedua, Perak kembali dengan semangat baharu dan perlawanan kembali terbuka apabila mereka berjaya mengurangkan defisit seminit selepas rehat menerusi penyudah Mohd Firdaus Saiyadi.
Perlawanan bertukar hangat dengan cara yang tak sepatutnya pada minit ke-56 apabila pergaduhan tercetus sehingga menyaksikan Gilmar dilayangkan kad kuning kedua sekali gus diperintahkan keluar padang sebelum Lee Tuck berdepan nasib sama pada minit ke-66.
Ketika TFC sudah berada di ambang kemenangan, Brendan Gan memastikan perlawanan diheret ke masa tambahan apabila mengikat kedudukan 2-2 menerusi rembatan jarak jauh pada minit pertama masa tambahan separuh masa kedua.
Mohd Faiz Nasir menceriakan TFC apabila meledak gol ketiga pada separuh masa pertama masa tambahan namun skrip sama sekali lagi berulang apabila TFC memberikan talian hayat kepada Perak dengan jaringan sendiri Igor Zonjic pada minit akhir sehingga memaksa perlawanan berlanjutan sehingga sepakan penentuan penalti. – BH ONLINE