PARIS – Golongan orang kelainan upaya (OKU) yang diletakkan di bawah jagaan mahkamah akan diberikan hak untuk berkahwin atau mengundi di Perancis tidak lama lagi.
Menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal OKU, Sophie Cluzel berkata, pendekatan itu akan memberikan golongan berkenaan hak untuk mendapatkan semula kerakyatan mereka.
Langkah itu katanya, akan membabitkan hampir 310,000 golongan OKU yang diletakkan di bawah jagaan mahkamah atau diharamkan mengundi, sebahagian besarnya kerana mengalami kecacatan mental.
“Sasaran kita ialah untuk membolehkan semua orang mengundi dalam pilihan raya perbandaran akan datang pada 2020,” kata Cluzel dalam temuramah bersama akhbar Le Parisien.
Pendekatan terbaru itu yang akan diperkenalkan akhir tahun ini juga akan membenarkan individu OKU di bawah jagaan mahkamah untuk mendirikan rumahtangga atau bercerai secara bebas tanpa perlu kebenaran hakim.
Antara pendekatan lain termasuk sokongan bantuan kewangan secara kekal untuk individu yang keadaannya tidak menunjukkan sebarang peningkatan, bertujuan meringankan beban pengurusan kerana perlu memohon bagi mendapatkan beberapa kemudahan tertentu. – AFP