SHAH ALAM – Ekspedisi Eksklusif Wanita ke Antartika – ‘All Women Expedition to Antartica’ (Aweta) kini dalam peringkat terakhir memilih lima ‘Ratu Ais’ yang akan membawa cabaran sebagai inspirasi baharu generasi muda ke Kutub Selatan hujung tahun depan.
Pengarah projek Aweta, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata setakat ini, lapan protege terbaik berjaya ke peringkat seterusnya dan lima ‘Ratu Ais’ yang bakal menggalas misi ekspedisi tersebut akan dipilih pada Januari depan.
“Lapan protege terbaik ini akan meneruskan pelbagai lagi cabaran untuk menyempurnakan pemilihan pada peringkat akhir nanti, antaranya cabaran ‘Ice Challenge 2.0’ iaitu mereka perlu berada lebih daripada 72 jam dalam rumah ais.
“Sebelum ini, cabaran ‘ice challenge’ telah dibuat cuma tempoh masanya kali ini kita tingkatkan supaya ia lebih getir untuk melihat daya tahan mereka memandangkan ekspedisi di Kutub Selatan itu lebih daripada 72 jam iaitu sekitar sebulan,” katanya dalam sidang media bagi memperkenalkan lapan protege terbaik ekspedisi itu, di sini hari ini.
Lapan protege tersebut adalah Siti Jumaidah Bensali, 33; Sharifah Azian Tuan Muda@Syed Mustafa, 35; Dr Fatin Farhana Tuan Kamarudden, 33; Salehah Abu Nor, 32; Nur Janna Abdullah, 25; Masyitah Atikah Haris, 29; Siti Khodijah Mohd Rashid, 26; dan Nurul Atiqah Tamarun, 29.
Noorizah berkata lima protege atau ‘Ratu Ais’ yang berjaya pula akan menjalani pelbagai program intensif di dalam dan luar negara, antaranya latihan berski serta berada dalam cuaca ekstrem sejuk mulai Februari hingga Oktober tahun depan di bawah pemantauan pelatih bertauliah dari pihak logistik Antartika.
Katanya, ekspedisi tersebut sepatutnya dilaksanakan hujung tahun ini namun ditunda ke tahun depan berikutan syarat ketat oleh pihak logistik Antartika yang mahu memastikan kesemua protege benar-benar mempunyai kemahiran ski dan tahap kecergasan terbaik.
Tambah Noorizah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga bersetuju menjadi penaung kepada ekspedisi melibatkan semua protege wanita itu.
Penjelajah wanita negara yang juga mentor Aweta, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir pula berkata lima protege akhir tersebut perlu menjalani latihan menarik tayar dengan berat minimum 45 kilogram (kg) selain latihan pemakaian yang sesuai.
“Cabaran menarik tayar ini sebagai simulasi untuk membina kekuatan mereka kerana ‘sledge’ yang perlu mereka bawa semasa di Kutub Selatan boleh jadi seberat itu atau pun lebih, bergantung kepada peralatan yang dibawa.
“Cuaca di Kutub Selatan pada musim panas sekitar negatif 16 darjah Celsius dan paling sejuk negatif 45 darjah Celsius. Disebabkan itu, lima protege akhir ini akan dilatih di negara beriklim sejuk iaitu New Zealand dan Norway supaya mereka biasa dengan keadaan sejuk ekstrem,” katanya.
Dalam pada itu, Noorizah berkata Aweta akan menganjurkan larian amal ‘Antartica Xfit Burden Run 2018’ pada 2 Disember ini sebagai usaha menyokong misi ekspedisi tersebut.
Katanya, larian berkenaan terbuka kepada dua kategori untuk lelaki dan wanita iaitu ‘Competitive Run’ sejauh 10 kilometer dan ‘Fun Run’ sejauh lima kilometer yang bermula dan berakhir di kompleks membeli-belah Citta Mall, Ara Damansara, dekat sini.
Tambah beliau, seramai 3,000 peserta disasar menyertai acara itu yang bermula pukul 7 pagi dan keistimewaan larian tersebut adalah peserta ‘Competitive Run’ perlu memikul beban pada pertengahan larian sambil berlari.
“Bagi kategori ‘Competitive Run’, peserta wanita akan berlari membawa tujuh kilogram (kg) beban dan peserta lelaki pula perlu membawa 10kg beban yang kita akan sediakan manakala peserta ‘Fun Run’ boleh membawa beban mereka sendiri. Kanak-kanak bawah 12 tahun juga boleh menyertai larian dan bawalah bantal busuk mereka sebagai beban,” katanya.
Noorizah berkata bayaran penyertaan bagi larian 10km adalah RM85, larian 5km (RM75) selain ada harga istimewa bagi larian keluarga dan pendaftaran dibuka sekarang di laman web www.racexasia.com/event/antartica-xfit-burden-run-2018 sebelum tarikh tutup pada 15 November ini. – BERNAMA