KOTA BHARU – “Pakatan Harapan (PH) nampaknya bukanlah sebuah pakatan politik untuk sebuah Malaysia Baharu yang lebih baik”
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, ia terbukti melalui Langkah Kajang, Langkah Permatang Pauh dan kini Langkah Port Dickson.
“Ia nampaknya bukanlah sebuah pakatan politik untuk sebuah Malaysia Baharu yang lebih baik. Ia hanyalah ‘Ops PH’ untuk jatuhkan Najib.
“Ada pun untuk bangunkan negara, ia masih jauh. Nafsu makin besar. Mulut pun besar. Harapan mengecil. Janji menjauh. Perang mendekat. Retak menanti belah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook baru-baru ini.
Sementara itu, Nik Mohamad Abduh memuji kerajaan Terengganu dan Kelantan kerana tidak membenarkan festival muzik luar batas dan beberapa penghibur yang mempromosi akhlak buruk.
Katanya, negara yang sejahtera dibina dengan ketinggian akhlak, bukan ketinggian batu bata kerana harta dan kekayaan menyokong binaan akhlak, bukan meruntuhkannya.
“Berhibur menuju Allah tiada salahnya. Berhibur menuju murka dan neraka-Nya, itulah seburuk-buruk hiburan,” katanya tanpa merujuk kepada mana-mana pihak.
Kelab Anwar Ibrahim (AIC) akan menganjurkan konsert percuma yang menampilkan ramai artis popular untuk penduduk Port Dickson dari 5 hingga 6 Oktober ini.
Port Dickson sedang berhadapan Pilihan Raya Kecil bagi kerusi Parlimen dan calon PH ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Mynewshub.tv