CEMAS… Bimbang dengan ‘gelombang’ kemarahan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad akhirnya terpaksa turun bantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
Tindakan pelik Perdana Menteri dengan usia paling tua di dunia itu cetus tanda tanya kerana sebelum ini beliau berdalih tidak masuk campur ‘percaturan’ kerusi Parlimen bandar peranginan popular Negeri Sembilan tersebut.
Mahathir malah dengan angkuh menolak kemungkinan berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi hari ini, media tempatan melaporkan bahawa beliau sekali lagi buat pusingan U apabila secara tiba-tiba ubah fikirannya itu.
Pengerusi PH tersebut memberitahu pemberita, beliau akan turun berkempen di Port Dickson bagi bantu Anwar; yang juga presiden baharu PKR setelah berjaya ganti isterinya sendiri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Bercakap pada sidang media selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini, Mahathir menjelaskan keputusan itu sekali gus tepis dakwaan ‘nakal’ konon hubungannya dengan Anwar adalah dingin.
Kata Mahathir, beliau akan turun padang sambil mengarahkan jentera parti digerakkan dalam skala besar untuk memastikan Anwar dapat ‘masuk’ ke Dewan Rakyat dan juga bakal dipilih sebagai Perdana Menteri kelapan itu.
“Ada pihak pernah kritik dan dakwa saya dengan Anwar bergaduh. Konon tidak sokong Anwar. Saya dan jentera parti akan berada (di Port Dickson) pada 8 Oktober dalam majlis besar-besaran kempen kita.
“Kita juga berharap pengundi Port Dickson di luar kawasan akan balik undi kerana PRK kali ini tiada undi pos. Kena balik juga kerana banyak (pengundi) yang berada di negara lain,” katanya.
Mahathir sebelum ini berkata, beliau sudah memberitahu Anwar, biasanya dia tidak menyertai kempen PRK, tetap akan memperakui penamaan Anwar untuk bertanding di Port Dickson. – Agensi/Mynewshub.TV