ANGKUH… Sebelum ini, seorang wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dengan angkuh dakwa jika menang Pilihan Raya Umum (PRU), esok subuh kilang arak di kawasannya itu akan terus ditutup!
Kini, setelah lebih 200 hari blok itu berkuasa, kilang minuman keras yang jelas dapat dilihat penduduk termasuk Muslim di kawasan tersebut namun masih berdiri gah malah diperbesarkan lagi demi tampung permintaan tinggi.
Hari ini, selepas PH hina umat Islam apabila enggan batal pesta arak Oktoberfest atas dalih kononnya tidak ganggu masyarakat Muslim, mereka mengakui secara terbuka ia bukan polisi PH untuk haram jualan minuman beralkohol.
Perkara yang agak memeranjatkan pelbagai pihak itu disahkan sendiri oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chieng Jen serta juga merupakan Pengerusi DAP Sarawak.
Beliau berkata ketika jawab soalan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya di Dewan Rakyat yang ingin tahu jaminan dan komitmen pihak kementerian untuk haram penjualan produk arak.
Lebih dahsyat, tambah Ahli Parlimen Stampin itu, cadangan pihak tertentu untuk desak kerajaan PH haram jualan minuman beralkohol secara keluruhan adalah tidak munasabah dan boleh dianggap sebagai bentuk ekstremisme.
Shabudin dalam soalan tambahannya ingin tahu adakah pihak KPDHEP mempunyai garis panduan bagi usaha menangani isu penjualan minum beralkohol secara bebas seperti yang dilakukan terhadap penjualan rokok.
“Kalau kerajaan ada dasar tegas terhadap rokok, tetapi kenapa minuman beralkohol ini tidak nampak komitmen kerajaan? Adakah kerajaan mempunyai garis panduan jelas untuk menangani masalah yang bakal timbul,” soalnya.
Terkedu dengan soalan cepumas itu, Chieng Jen sekadar jawab isu penjualan minuman beralkohol bukan di bidang kuasa KPDNHEP namun pelesenan diletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Sebelum ini, tular isu cadangan oleh seorang ahli DAP Melayu Islam agar lesen pusat judi dan penjualan alkohol diberikan kepada usahawan Bumiputera tetapi idea itu dikritik umat Islam sebagai kurang ajar dan amat liberal.
Cadangan itu telah diberikan oleh bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang memuat naik hantaran kenyataan tersebut menerusi laman blog miliknya. – Agensi/Mynewshub.TV