LINTASAN SEMPADAN JABER – Jordan membuka semula pintu sempadan utama dengan negara bergolak, Syria semalam selepas menutupnya selama tiga tahun, lapor wartawan agensi berita AFP.
Pintu pagar besi berwarna hitam itu dibuka di sebelah Jordan pada pukul 8 pagi (waktu tempatan) dengan lebih 12 anggota polis dan kastam berada di lokasi tersebut.
Kereta-kereta dengan nombor pendaftaran Jordan beratur untuk memasuki Syria, manakala perantau-perantau meluahkan perasaan gembira kerana dapat kembali merentasi sempadan ke Syria.
Ahli perniagaan Syria, Hisham Falyoun yang tinggal di Jordan bersama isteri dan anaknya merupakan orang pertama melintasi pintu sempadan dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda jenama Mercedes berwarna hitam.
“Saya sangat gembira. Saya tidak mampu meluahkan perasaan saya. Lintasan ini sepatutnya dibuka lebih awal kerana ia merupakan laluan yang amat penting untuk semua negara Arab, bukan sahaja terhad kepada Jordan dan Syria,” katanya.
“Saya mahu menjadi orang pertama melintasi sempadan bagi membuktikan Syria selamat, Syria telah kembali,” kata Hisham yang mahu membuat kejutan kepada ibu bapanya di Damsyik.
Pemandu teksi Jordan, Imad Sariheen pula menyifatkan pembukaan semula sempadan Jaber itu sebagai ‘punca kegembiraan untuk kami semua’ kerana ia dapat membantu meringankan kesusahan ekonomi yang ditanggung rakyat Jordan semasa penutupannya.
“Keadaan kami menjadi teruk sejak beberapa tahun lalu. Kerja kami terhenti akibat penutupan sempadan antara Jordan dan Syria,” tambahnya.
Lintasan sempadan itu yang dikenali sebagai Jaber di sebelah Jordan dan Nassib di sebelah Syria, merupakan laluan perdagangan utama sebelum Amman menutupnya selepas pos berkenaan dikuasai oleh pemberontak Syria pada April 2015.
Pembukaan semula pintu sempadan itu dilakukan selepas tentera kerajaan Syria mengambil alih lintasan tersebut pada Julai lalu menerusi satu perjanjian dengan pejuang pemberontak yang diaturkan oleh Moscow.
Perdagangan rentas sempadan antara Jordan dan Syria pada tahun 2010 adalah bernilai AS$615 juta (RM2.5 bilion). Perang saudara di Syria tercetus pada 2011. – AFP/KOSMO ONLINE