SEREMBAN — Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima baik cadangan kerajaan negeri untuk membangunkan sebuah hab penerbangan di negeri ini, kata Menteri Besar Aminuddin Harun.
Beliau berkata secara dasarnya Dr Mahathir bersetuju dengan cadangan itu melalui pertemuan antara kerajaan negeri dengan beliau petang tadi di Putrajaya.
“Dalam masa terdekat ini jika segalanya berjalan dengan lancar kita akan umumkan mengenai hal ini selain kerajaan negeri juga akan tubuhkan jawatankuasa bertindak yang dipersetujui Dr Mahathir untuk mempercepatkan cadangan tersebut.
“Kita juga mencadangkan tapak di sebelah Tanah Merah, Port Dickson untuk dijadikan lokasi hab penerbangan dan ini bergantung kepada pihak Airbus (perintis industri aero angkasa) untuk menentukan sama ada tapak itu sesuai atau tidak,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat rumah seorang penduduk, Alimah Abu Bakar, 93, yang terbakar di Kampung Ismail, Ampangan, di sini, hari ini.
Beliau berkata lokasi dan tapak pembinaan perlu dikaji secara terperinci bagi memastikan ia tidak mengganggu operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – BERNAMA