IPOH – Polis Perak berjaya menahan sepasang suami isteri dipercayai pengedar dadah serta merampas pelbagai jenis dadah seberat 5.6 kilogram bernilai lebih RM260,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Changkat Jering, Taiping, dua hari lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri ACP V. R. Ravi Chandran berkata pasangan yang masing-masing berumur 51 dan 54 tahun itu ditahan polis di rumah berkenaan pada pukul 2 petang.
Katanya hasil pemeriksaan polis merampas dadah jenis heroin yang dianggar seberat 2,930 gram, dadah jenis ganja seberat 2,105 gram serta syabu seberat 550 gram dengan anggaran nilai RM269,250. di samping beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah dalam paket kecil serta dan menyita sebuah kereta Perodua Axia dianggar bernilai RM25,000.
“Dadah yang dirampas itu dipercayai untuk diedar kepada pelanggan di sekitar kawasan Taiping,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.
Ravi Chandran berkata hasil ujian air kencing mendapati pasangan yang tidak bekerja itu didapati positif ganja serta turut mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
Menurutnya kedua-dua suspek direman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA