ALOR SETAR – Polis merampas 252.16 kilogram dadah jenis ganja bernilai RM630,250 dalam pemeriksaan terhadap sebuah kereta di Jalan Kampung Kuala Lanjut, Kubur Panjang, di Pendang, semalam.
Ketua Polis Kedah Datuk Abd Rahim Jaafar berkata anggota unit kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Setar sedang membuat rondaan di sekitar Pokok Sena sebelum terserempak dengan dua kereta jenis Proton Waja dan Toyota Vios dalam keadaan mencurigakan pada 4.30 pagi.
“Ketika hendak menjalankan pemeriksaan, pemandu kereta Toyota Vios telah melarikan diri namun polis berjaya menahan kereta Proton Waja yang dinaiki empat suspek yang berumur antara 20 hingga 42 tahun dengan bantuan MPV.
“Polis telah mengejar kereta Toyota Vios yang dipandu lelaki berumur 30-an. Suspek telah melarikan diri selepas kereta yang dipandunya terbabas di tepi jalan dan hasil pemeriksaan telah menjumpai empat bungkusan dadah jenis ganja di bahagian tempat duduk belakang dan dua lagi bungkusan di bahagian bonet kereta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.
Abd Rahim berkata kereta itu dibawa ke IPD Kota Setar dan pemeriksaan lanjut telah menjumpai 248 ketulan mampat dadah jenis ganja di dalam enam bungkusan, menjadikan jumlah dadah itu 252.16kg.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek sedang menghala ke Perak dan dipercayai dadah tersebut adalah untuk dipasarkan ke negeri itu.
“Kita masih menyiasat dari mana mereka ambil bekalan dadah tersebut. Kesemua suspek yang ditahan yang berasal dari Kedah dan Pulau Pinang itu positif dadah jenis syabu dan dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah.
“Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 9 Okt ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala polis sedang memburu pemandu kereta Toyota Vios yang telah dikenal pasti identitinya,” katanya.
Dalam pada itu, Abd Rahim berkata dalam usaha membanteras kegiatan perjudian, sebanyak 896 serbuan telah dilakukan dengan sebanyak 257 orang ditahan serta 733 mesin dan wang tunai RM36,386 dirampas dalam Op Dadu dari 1 hingga 30 Sept lepas.
“Bagi membanteras kegiatan pelacuran, sebanyak 121 serbuan dilakukan dan telah berjaya menahan 156 orang manakala bagi Op Cantas (bagi membanteras jenayah) sebanyak 61 serbuan dilakukan dengan 60 orang berjaya ditahan,” katanya. – BERNAMA