SHAH ALAM – Kegiatan satu sindiket menjalankan aktiviti pembelian diesel secara tidak sah terbongkar apabila dua ahlinya ditahan dalam Operasi Barang Kawalan Bersubsidi Diesel oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Selangor awal pagi semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12.45 pagi di sebuah stesen minyak di Puchong berjaya menahan dua individu berusia lingkungan 30-an.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, hasil risikan pihaknya selama seminggu mendapati sindiket yang membawa lori tangki berkapasiti 6,000 liter itu sering mengambil diesel pada waktu malam.
“Ketika ditahan, suspek bersama pembantunya yang masing-masing warga tempatan sedang menyedut diesel daripada tangki kenderaan ke tangki simpanan lain. Malah, ketika ditahan suspek baru sahaja melakukan pemindahan diesel kira-kira tiga jam sebelum itu di stesen yang sama.
“Anggaran diesel yang berjaya dirampas hampir 6,000 liter dan sindiket mampu mengaut keuntungan 20 sen bagi setiap liter yang dijual kepada pihak industri,” katanya dalam sidang akhbar di stor penyimpanan PPDNHEP Selangor di sini hari ini.
Tambah Azman, pihaknya kini telah menahan untuk dirakam percakapan dan tindakan lanjut manakala pemilik serta pekerja stesen minyak akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan. – UTUSAN ONLINE