BERTANGGUNGJAWAB… Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Tan Sri Mohd. Isa Samad selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Linggi pada pukul 11.30 pagi tadi.
Kehadiran bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu ternyata berjaya ‘memalukan’ calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal berbuat demikian kerana bukan pengundi berdaftar di kerusi berkenaan selama ini.
Apatah lagi itu, ia turut beri tamparan hebat kepada jentera kerajaan yang berharap supaya bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dapat muncul sebagai rakyat Negeri Sembilan pertama dilantik sebagai perdana menteri.
Menurut media tempatan, Mohd. Isa ceria hadir bersama-sama empat anaknya iaitu Mohd. Najib, 40; Megawati, 37; Lelawati, 34, dan Juhaida, 29, sebelum itu tiba di pekarangan sekolah tersebut kira-kira pada pukul 11.15 pagi.
Beliau yang merupakan satu-satunya calon dapat mengundi dalam PRK Parlimen Port Dickson turut meluangkan masa kira-kira 25 minit beramah mesra dengan para pengundi dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Ini adalah kali ke-10 saya mengundi di Port Dickson walaupun sebelum ini bertanding di Jempol dan sudah 40 tahun buat kerja politik, tidak pernah penat. Mungkin ramai sudah letih kerana tidak patut ada PRK ini,” katanya.
PRK keempat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 itu menyaksikan tujuh penjuru termasuk calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar serta bebas iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan, Lau Seck Yan, Chan Keng Leong dan Kan Chee Yuen.
Ia terpaksa diadakan selepas bekas anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan mengejut bulan lalu untuk beri ruang kepada Presiden PKR tersebut kembali semula ke Dewan Rakyat.
Sebanyak 32 pusat pengundian dibuka mulai jam 8 pagi ini bagi membolehkan 68,317 berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka sebelum ditutup serentak pada pukul 5.30 petang. – Agensi/Mynewshub.TV