KUALA LUMPUR – Pusat baharu, yang dibina oleh Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Tabai (Ayata), akan memberi banyak kemudahan kepada anak yatim di sekitar Tabai dan Narawatihs di Thailand dalam mendapatkan pendidikan.
Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata pembinaan pusat itu atas tanah seluas 2.4 hektar, turut meliputi asrama, kelas pengajian, dewan makan, sebuah masjid dan padang bola yang melibatkan kos kira-kira RM1 juta.
“Saya memuji langkah yang diambil oleh Pengerusi Ayata, Ustaz Nawawi Yunus dan Ahli Jawatankuasa Ayata kerana berusaha membantu golongan anak yatim ini. Penubuhan pusat Ayata ini boleh menjamin masa hadapan anak yatim mendapat tempat tinggal dan pendidikan yang sempurna.
“NGO Antarabangsa menyokong usaha murni ini malah ia juga sedang berusaha untuk membantu badan kebajikan ini dan semoga impian Ayata untuk membantu golongan anak yatim ini akan berjaya kelak,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mustapha berkata pusat Ayata itu diharap menjadi contoh di kawasan lain di Thailand dalam menyediakan dua sesi pengajian iaitu pengajian kurikulum pembelajaran sekolah kerajaan serta pengajian Al-Quran dan lain-lain pengajian agama.
Nawawi Yunus pula berkata beliau menyanjung NGO Antarabangsa kerana prihatin dan memberi bantuan kepada Ayata, sehingga kini Ayata membelanjakan kira-kira RM900,000 untuk pembinaan bangunan dan kemudahan pusat Ayata itu.
“Ayata sangat mengalu-alukan sumbangan derma dari Malaysia, kami juga merayu sumbangan derma untuk menyiapkan pembinaan masjid yang melibatkan kos sebanyak RM75,000. Setakat ini, projek pembinaan Ayata ini hampir 70 peratus siap.
“Ayata mempunyai seramai 80 anak yatim terdiri daripada lelaki dan perempuan. Bagi mengutip derma, Ayata menjual air mineral dan sabun di sekitar Tabai (Thailand), hasil kutipan derma itu akan menampung kos operasi Ayata nanti,” katanya. – BERNAMA