KUALA LUMPUR – Jepun dilanda musibah lagi.
Tidak sampai sebulan selepas dilanda taufan Jebi, negara matahari terbit itu sekali lagi diserang Taufan Trami yang mula melanda Jepun sejak petang semalam.
Kebimbangan berhubung keselamatan warga Malaysia yang berada di negara itu menyebabkan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jepun mengeluarkan amaran supaya warga Malaysia mengambil langkah berjaga-jaga.
Taufan Trami dengan kelajuan angin lebih 200 kilometer sejam itu dikesan mula melanda Jepun pada jam 5 petang semalam dan berlarutan sehingga jam 2 pagi tadi.
Salah seorang rakyat Malaysia yang menetap di Fuchu, Tokyo, Mohd Fuzayme Nordin, 34, berkata, dia keluarga mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyediakan keperluan makanan secukupnya selepas pihak kedutaan Besar Malaysia di Tokyo mengeluarkan amaran taufan itu pada Sabtu lalu.
Menurutnya, pada jam 6 petang semalam, hujan lebat mula berlaku dan berlarutan sehingga jam 10 malam tadi diikuti ribut.
“Saya bertindak menutup semua pintu dan tingkap. Namun angin ribut yang terlalu kuat menyebabkan pintu gelongsor bergegar dan air hujan memasuki ke dalam bilik.
“Kejadian ribut itu berlarutan sehingga jam 2 pagi tadi. Walaupun taufan terbaru ini tidak sekuat Taufan Jebi namun saya tidak panik kerana sudah dilatih untuk sentiasa bertenang menghadapi situasi bencana.
“Ini kejadian taufan besar kedua saya alami sepanjang tinggal di sini sejak tahun 2016,” katanya.
Menurutnya, kejadian taufan terbaru itu menyebabkan pokok-pokok dan papan tanda kedai sekitar kediamannya tercabut.
“Bagaimanapun kebanyakan peniaga di sini sudah bersedia lebih awal dengan penutup perniagaan sejak kelmarin. Malah perkhidmatan kereta api turut dibatalkan bermula jam 8 malam tadi.
“Di sesetengah kedai runcit dan serbaneka, kebanyakan bekalan makanan kehabisan apabila penduduk setempat membelinya untuk persediaan menghadapi ribut,” katanya.
Dia berkata, kerja pembersihan kini giat dijalankan oleh penduduk dengan memotong dan memindahkan pokok tumbang yang menghempap kediaman atau jalan.
Taufan Trami mula membadai selatan Jepun sekali gus turut memaksa banyak pembatalan jadual penerbangan dan menjejaskan bekalan kuasa di beberapa bandar.
Taufan Trami yang diletakkan dalam Kategori 2, mula membadai kepulauan sekitar Okinawa, iaitu kira-kira 1,000 kilometer (km) di barat daya Tokyo.
Selain itu, angin kencang menumbangkan pokok-pokok, menerbangkan lapisan luar bangunan dan mencederakan sembilan mangsa.
Saluran berita NHK juga melaporkan, lebih 380 penerbangan sudah dibatalkan, dengan majoritinya adalah penerbangan keluar dan masuk ke Okinawa.
Perkhidmatan kereta api laju antara Osaka dan Hiroshima juga akan dihentikan sementara pada pagi semalam atas sebab-sebab keselamatan. – BH Online