PERPINDAHAN Cristiano Ronaldo ke Juventus ternyata memberi impak kepada Real Madrid.
Malah, prestasi Real Madrid juga dikatakan semakin lemah tanpa Ronaldo yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai ayam tambatan pasukan itu.
Biarpun sedang terpalit dengan dakwaan rogol ke atasnya, Ronaldo sempat diajukan mengenai kelab lamanya itu.
Jelas pemenang lima kali Anugerah Ballon d’Or itu, dia tidak berminat untuk memberi sebarang ulasan mengenai Real Madrid.
Malah, dia juga menyatakan tidak mahu memberi sebarang komen mengenai krisis yang melanda dalam pasukan itu.
“Saya tak perlu bercakap mengenai kelab lain,” ujarnya ringkas.
“Semua tahu kisah saya di Real Madrid. Apa yang penting, esok adalah hari perlawanan. Saya tak mahu berbicara mengenai krisis pasukan lain,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ronaldo sempat memberi pujian kepada Alex Ferguson atas khidmat cemerlangnya dalam bola sepak.
“Sir Alex Ferguson adalah individu yang saya tak akan lupakan, saya ingin menzahirkan ucapan yang tak terhingga buat beliau,” kata Ronaldo. – Goal.Com/mStar Online