IPOH – Di sebalik kelancaran proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Perak setakat tengah hari tadi, terdapat juga keluhan daripada anggota parti terutama terpaksa menunggu lama untuk mengundi.
Di cabang Ipoh Barat misalnya, seorang lelaki warga emas tidak berpuas hati selepas datang ke pusat pemilihan di sebuah hotel di sini pada pukul 9 pagi, namun dimaklumkan proses pemilihan hanya bermula pada 10 pagi.
Lelaki tersebut yang bersemangat untuk memilih sehingga menjadi orang pertama datang ke pusat pemilihan, akhirnya balik tanpa mengundi.
Di Tapah, ramai pengundi merungut kerana terpaksa menunggu lama untuk mendapat giliran mengundi menggunakan sistem atas talian e-undi di Dewan Serbaguna Al-Mukmin, Kampung Batu 3 Jalan Pahang.
Seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Ibrahim, 60, dari Pekan Tapah berkata ramai pengundi datang seawal pukul 8 pagi, namun terpaksa menunggu lama dan berpanas demi menunaikan tanggungjawab.
“Pak cik ni bukanlah larat sangat tapi boleh datang seawal 8 pagi. Cuma terpaksa menunggu lebih sejam lamanya untuk masuk mengundi,” katanya sambil berharap segala kelemahan perlu diperbaiki,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu seorang pengundi yang mahu dikenali Ina, 41 dari Kampung Air Kuning berkata dia keletihan kerana bahang selain hanya dapat mengundi kira-kira pukul 12.15 tengahari selepas beratur sejak pukul 9.30 pagi.
Seorang lagi pengundi yang mahu dikenali Suhana, 34, dari Temoh berharap pihak urusetia menyediakan kemudahan yang mencukupi ketika pengundi menunggu giliran masuk untuk memilih lebih-lebih untuk golongan ibu yang membawa anak.
Di Bagan Serai, calon ketua cabang Sharif Sarjono meminta Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) supaya membenarkan petugas daripada wakil-wakil calon membantu kelancaran pemilihan lebih-lebih lagi selepas pusat pengundian hanya dibuka pada 10.30 pagi.
“Kalau tidak cukup petugas kita di sini boleh bantu JPP. Malangnya JPP tidak benarkan,” katanya sambil berkata perkara itu membuktikan kelemahan JPP dalam memastikan pemilihan berjalan dengan lancar.
Dalam pada itu, calon cabang Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad telah menghantar permohonan kepada JPP supaya melanjutkan masa pengundian bagi cabang berkenaan.
Beliau berkata perkara itu perlu diberikan perhatian memandangkan ramai anggota PKR cabang Tambun bekerja hari ini dan pelanjutan tempoh memilih memberi peluang kepada mereka mengundi.
“Kita telah hantar (permohonan) pada urusetia JPP supaya panjangkan tempoh masa mengundi daripada pukul 5 ke pukul 6 petang. Ia telah dipanjangkan ke peringkat pusat dan kita hanya menunggu keputusan mereka,” katanya. – BERNAMA