LONDON – Syarikat penerbangan tambang murah popular, Ryanair dikritik kerana gagal menghalang penumpang rasis meneruskan penerbangan dari Barcelona ke London Stansted, lapor agensi berita Xinhua.
Berdasarkan rakaman video, insiden pada Jumaat itu bermula apabila penumpang lelaki tersebut berang apabila seorang wanita lambat memberi laluan kepadanya untuk ke kerusinya yang berdekatan tingkap pesawat.
Lelaki berkenaan terus menjerit meskipun anak perempuan wanita tersebut telah memaklumkan ibunya seorang kurang upaya.
Seorang penumpang dan pengawal penerbangan cuba campur tangan dan menenangkannya, namun lelaki itu tetap bertindak kasar sambil mengeluarkan kata kesat.
Tindakan pihak penerbangan membiarkan lelaki itu kekal dalam pesawat mencetuskan kemarahan orang awam dan ahli politik selepas video berkenaan tular di laman sosial.
David Lawrence yang merakam kejadian tersebut memberitahu BBC, beliau terkejut kerana Ryanair membiarkan ia berlaku tanpa tindakan lanjut.
“Dia sepatutnya dikeluarkan dari pesawat dan diserahkan kepada pihak polis,” kata Anggota Parlimen, Karl Turner menerusi Twitternya.
Ryanair dalam jawapan balas mengatakan, syarikatnya mempunyai peraturan ketat berkaitan gangguan oleh penumpang dan tidak akan bertolak ansur dengan kejadian yang berlaku.
Jelas Ryanair siasatan lanjut mengenai insiden akan dijalankan, perbuatan tersebut boleh menyebabkan penumpang disekat mengikuti penerbangan dan laporan polis juga telah dibuat.
Diasaskan pada 1984, Ryanair merupakan satu syarikat penerbangan terbesar di Eropah, yang menyediakan perkhidmatan di 37 negara termasuk di Eropah, Afrika dan Asia. – BERNAMA