DAP didakwa terus melakukan diskriminasi terhadap negeri Melayu Kelantan dan Terengganu apabila dilapor masih belum melepaskan bayaran royalti minyak kepada dua negeri itu.
Lapor portal Malaysia Today semalam, Petronas sudah membayar jumlah royalti itu dan Kementerian Kewangan telah membayar Sarawak dan Sabah tetapi menyekat bayaran kepada Kelantan dan Terengganu.
Lim Guan Eng yang juga pemimpin DAP sendiri sudah banyak kali menunjukkan sikap benci terhadap Kelantan dan Terengganu, dua buah negeri yang ditadbir oleh kerajaan PAS itu.
Guan Eng pernah menyalahkan kerajaan Kelantan sebagai tidak cekap ekoran banjir yang melanda negeri itu.
Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata DAP terus mendiskriminasi Kelantan dan Terengganu apabila tidak menjelaskan bayaran royalti petroleum yang sudah dijanjikan.
Beliau turut menjawab persoalan Lim Kit Siang tentang dakwaan diskriminasi terhadap negeri Melayu Kelantan dan Terengganu.
“Perdana menteri telah bersetuju untuk mengembalikan royalti terus kepada negeri sebagaimana dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).
“Namun pembayaran kepada Kelantan dan Terengganu terhalang. Jika saudara Lim mahukan bukti, sila tanya menteri kewangan,” katanya di Facebook.
PH dalam kempen pilihan raya menjanjikan royalti hasil petroleum sebanyak 20 peratus, tetapi kemudian dinafikan dan ditetapkan pada 5 peratus kerana didakwa akan menyebabkan Petronas bankrap. – Mynewshub.tv