PUTRAJAYA – Fenomena ribuan “kerang” terdampar di Pulau Ketam yang tular di media sosial baru-baru ini bukan spesies kerang, sebaliknya sejenis kupang berwarna coklat daripada spesies Modiulos sp atau dikenali sebagai siput rantai.
Jabatan Perikanan (DOF) berkata lazimnya, spesies itu hidup di kawasan muara dan tepi pantai yang sangat produktif serta kaya dengan bahan organik yang terapung dan menyesuaikan diri terhadap perubahan saliniti (kepekatan garam) di sesuatu kawasan.
“Daripada segi biologi, spesies itu membiak dengan cepat jika ciri-ciri sesuatu kawasan menepati keperluan kehidupannya,” kata DOF dalam kenyataan, di sini hari ini.
Pemerhatian DOF di lokasi kejadian mendapati siput rantai mendominasi kawasan tepi pantai dan juga kawasan yang terdapat benteng tanah liat.
Katanya air pasang besar yang berlaku pada minggu lepas dengan kelajuan arus deras menyebabkan lumpur yang melindungi siput rantai hanyut dan menunjukkan kehadirannya di kawasan tersebut.
DOF berkata fenomena air pasang besar itu mampu mengalihkan dan menggali segala hidupan dasar laut dari satu lokasi ke lokasi lain, atau lebih dikenali sebagai “Peralihan Lokasi Massa” (Mass Trans-location).
Menurutnya, kupang tersebut melekat pada satu sama lain menjadi seperti rantai atau sering dipanggil ‘carpet’ sehingga mampu menutupi dan menyebabkan kematian pada semua organisma.
“Siput rantai ini dianggap sebagai pemusuh (pest) di kawasan ternakan kerang-kerangan dan ternakan ikan dalam sangkar,” katanya.
Setakat ini, katanya kaedah yang dipraktikkan oleh negara lain untuk membuang atau menghapuskannya adalah dengan mengangkut siput rantai ini bersama campuran lumpur ke dalam bot dan kemudian dipindahkan ke darat untuk dimusnahkan.
Bagaimanapun, DOF berkata siput rantai mempunyai isi yang kecil dan boleh dimakan serta digunakan sebagai makanan untuk ternakan itik di Sarawak serta beberapa negara seperti Filipina dan India. – BERNAMA