JOHOR BAHRU – Hasrat skuad hoki remaja negara untuk melakar kemenangan pertama tidak kesampaian setelah terikat 5-5 menentang New Zealand dalam aksi penuh dramatik pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) 2018 di Stadium Hoki Taman Daya, malam ini.
Turun dengan aksi bertenaga, skuad muda negara terlebih dahulu berada di hadapan seawal minit ketujuh menerusi jaringan Muhammad Luqman Hakim Mohammad Asri, disusuli gol kedua oleh Shello Silverius, selang dua minit kemudian, kedua-duanya melalui gol padang.
Malaysia kemudian menambah satu lagi gol pada minit ke-10 menerusi gol padang Mamat Adam, sebelum New Zealand berjaya merapatkan jurang jaringan dengan menyumbat masuk gol pertama mereka seminit selepas itu menerusi pukulan sudut penalti Reuben Andrews.
Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia menggandakan gerakan mengasak kubu lawan dan berhasil menjaringkan satu lagi gol daripada gol padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-12.
Namun, New Zealand tidak berputus asa dan terus melancarkan serangan ke arah pintu gol Malaysia dan berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-15 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Andrews.
Bersambung babak kedua perlawanan, New Zealand tidak menunggu lama untuk merapatkan jurang gol dengan menambah tiga gol (dua menerusi pukulan sudut penalti dan satu gol padang), masing-masing dijaringkan Sam Hiha pada minit ke-30 serta 60 dan Andrews pada minit ke-48.
Malaysia pula sekadar menambah satu jaringan pada minit ke-57 melalui pukulan sudut penalti Muhammad Hafiz Mohd Zauri.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, pengendali skuad remaja negara Nor Saiful Zaini berkata anak buahnya perlu mengatasi rasa panik pada perlawanan seterusnya, terutama apabila pihak lawan dihadiahkan pukulan sudut penalti.
“Kita kena belajar menghadapinya terutama penjaga gol. Bagi saya, ini adalah proses pembelajaran bagi mereka,” katanya.
Terdahulu, Great Britain bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat juara bertahan Australia dengan keputusan seri 2-2.
Australia bermula garang dan berjaya membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti Blake Wotherspoon pada minit ke-24, sebelum menambah gol kedua pada minit ke-42 melalui pukulan sudut penalti disempurnakan Nathan Emphrauns.
Biarpun ketinggalan dua gol, barisan pemain Great Britain tetap mempamerkan semangat juang tinggi dan berjaya merapatkan defisit jaringan menerusi Cameron Golden pada minit ke-46, sebelum pemain itu sekali lagi membuktikan ketajamannya dengan menjaringkan gol kedua, seminit kemudian.
Dalam pada itu, India mengekalkan rekod tanpa kalah apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Jepun.
Gol tunggal perlawanan itu hadir pada minit ke-43 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan kapten pasukan India Mandep Mor.
Esok, India dijadual bertemu Australia, Malaysia menentang Great Britain dan New Zealand berdepan Jepun. – BERNAMA