KUALA LUMPUR – Pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) berperanan penting bagi melahirkan tenaga kerja yang mampu meningkatkan daya saing negara di peringkat global.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berkata TVET tidak harus dilihat sebagai pilihan kedua atau terakhir untuk kalangan pelajar yang lemah dalam pencapaian akademik, sebaliknya dijadikan pilihan utama seperti yang diamalkan di negara-negara maju.
“Hanya menerusi perubahan persepsi ini, diharapkan lebih ramai tenaga muda yang berpotensi menceburi bidang latihan berteraskan kemahiran tinggi. Ini sekali gus meningkatkan kebolehkerjaan mereka serta daya saing negara menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin kompetitif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutup Pertandingan Servis Pasca Jualan Proton Holdings Bhd (Proton) 2018 di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong.
Mengulas selanjutnya, Mahfuz berkata kerajaan telah merangka elemen modal insan bersepadu bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak, pendidikan asas, pendidikan tertiari sehingga ke alam pekerjaan.
“Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk membangunkan dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia menerusi peningkatan kemahiran serta prestasi,” katanya.
Jelasnya, langkah itu turut menjadi faktor utama bagi menggalakkan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara yang diterajui inovasi menerusi peningkatan tahap input modal insan, penggunaan teknologi baharu dan pembangunan keusahawanan bagi mendorong inovasi serta kreativiti.
“Globalisasi dan kemajuan teknologi yang sentiasa berkembang pesat turut meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja mahir yang berkualiti, berpengetahuan luas dan mendalam serta mempunyai kemahiran berfikir agar dapat bersaing di peringkat antarabangsa.
“Justeru, keperluan terhadap tenaga kerja terlatih dan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang pekerjaan akan menjadi semakin kritikal untuk mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju,” katanya. – BERNAMA